Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim Serasa
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Mac. - Majlis Perundingan Mukim (MPM) Serasa hari ini telah mengadakan Majlis Membaca Yaa Siin dan Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini.
Seramai 40 orang terdiri daripada ketua-ketua kampung di bawah Mukim Serasa, ahli jawatankuasa tertinggi, ketua biro, ahli Majlis Perundingan Kampung dan penduduk kampung Mukim Serasa diketuai oleh Penghulu Mukim Serasa, Awang Saiful Adli bin Ali Hassan menyertai majlis berkenaan.
Turut hadir, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah.
Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Arwah telah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mat Jaya bin Haji Ibrahim.